Cyberview Jayakan Malam Satu Harapan
Oleh: AZIMAH OMAR

Malam Satu Harapan’ adalah satu majlis keraian dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal dan golongan kurang bernasib baik. Ia juga merupakan satu aktiviti kemasyarakatan sempena bulan Ramadhan lalu, anjuran Cyberview Sdn. Bhd., pemilik tanah Cyberjaya. Majlis amal ini turut dihadiri dif-dif kehormat termasuk Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr. Awang Adek dan Ketua Setiausaha Perbandaran Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Wan Abdul Aziz serta isteri masing-masing.

 

Majlis berbuka puasa tersebut turut dimeriahkan dengan acara hiburan beberapa persembahan tarian zapin oleh pelajar-pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Melati, Tampoi, Johor Bahru. Selain itu, para tetamu juga dipertontonkan tayangan video ‘Selingkar Kasih’ yang menunjukkan pengambaran aktiviti amal melawat ke rumah serta memberi

sumbangan kepada lima ibu tunggal yang terpilih di kawasan berhampiran Cyberjaya. Kemuncak majlis ialah rakaman secara langsung program TV, ‘AC DI SINI’ bersama AC Mizal dan dua artis, penyanyi Aishah dan pelakon-pelawak Saleh Yaakob. Para tetamu undangan khas anak-anak yatim turut berpeluang bergambar dengan artis-artis kesayangan ramai berkenaan.