Masjid ‘Al-Nabawai’ dibina di Cyberjaya
(Utusan Malaysia - Saturday, 17 January 2009 - Dalam Negeri )

 

     Sepang 16 Jan. – Sebuah masjid yang menyerupai Masjid Al-Nabawi di Madinah bakal dibina bersebelahan tapak Universiti Antarabangsa Al-Madinah di Cyberjaya seiring dengan pembinaan kampus induk universiti itu yang dijangka siap pada 2013.

     Rektor Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Prof. Muhammad Khalifah al-Tamimi berkata, masjid yang dibina di atas tapak universiti seluas 40 hektar itu boleh menampung 5,000 jemaah pada satu-satu masa.

IDRIS Haron menunjukkan berita dan gambar mengenai kampus Universiti Antarabangsa AL-Madinah Cyberjaya dalam akhbar Utusan Malaysia kepada Putera Bandar Salman Al-Saud sebelum baginda berlepas pulang di KLIA, Sepang, kelmarin.


     Menurutnya, idea untuk membina masjid mirip Masjid Al-Nabawi itu tercetus selepas Penasihat Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud, Putera Dr.Bandar Salman Muhammad Al-Saud melawat tapak pembinaan kampus itu semalam.     

     Pembinaan masjid ini memang sudah termaktub dalam perancangan pembinaan kampus induk,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menghantar pulang Putera Bandar Salman, Imam Masjid Al-Nabawi, Abdul Bari Awwadh Al-Sualthubaiti dan delegasi ahli Majlis Universiti Antarabangsa Al-Madinah.
           
     Delegasi itu sebelum ini mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Negara ini.

     Turut mengiringi kepulangan delegasi tersebut ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron; Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mohamed Reda Abu Al-Hamayel dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi.

     Putera Bandar Salman yang juga Pengerusi Ahli Majlis Universiti Antarabangsa Al-Madinah turut menadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya, semalam.

     Pada masa ini, Universiti Antarabangsa Al-Madinah yang berpusat di Plaza Masalam, Shah Alam itu mempunyai 1,265 pelajar yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti Ijazah Sains Islam (Kepujian) Fekah dan Usul Fekah, Ijazah Sains Islam (Kepujian) Al-Hadith, Sains Al-Quran, Dakwah dan Usuluddin, Bahasa dan Kesusasteraan Arab dan Teknologi Maklumat.

     Sebanyak 90 peratus penuntut di universiti itu merupakan warga asing daripada 39 buah Negara kerana teknik pembelajaran dan pengajarannya adalah secara maya.

     Sementara itu, Idrisberkata, Putera Bandar Salman menyampaikan hasratnya untuk menjadikan universiti berkenaan sebagai pusat operasi induk semua cawangan unversiti berkenaan yang kini turut beroperasi di Bangkok, Jogjakarta, London, Madinah, Kaherah dan Kuwait.

     Menurut beliau, secara keseluruhannya, Putera Bandar Salman berpuas hati dengan persediaan prasarana oleh kerajaan Malaysia dan berharap universiti itu berjaya melahirkan graduan berkualiti.