Katanya, hanya sekitar 40 peratus teori yang dipelajari di universiti digunakan dalam latihan itu, manakala selebihnya adalah perkara baru perlu dipelajari daripada kakitangan syarikat.
“Semakin lama bekerja, semakin banyak pengetahuan baru yang saya terima,” katanya.
Masitah Ahmad Tah, 24, yang juga graduan dari Uniten dalam bidang Teknologi Maklumat (Grafik dan Multimedia) berkata program itu adalah platform baik untuk mendapat pengalaman pekerjaan.
“Tempat latihan saya, Starfussion Sdn Bhd, mengajar pelbagai kemahiran baru serta cara penulisan perniagaan yang amat berbeza dengan apa yang saya pelajari sewaktu di universiti dulu,” katanya.
Semua mereka memulakan latihan di situ antara sebulan hingga tiga bulan lalu. Sementara itu, Pengarah Urusan Cyberview, Datuk Redza Rafiq, berkata syarikat di Cyberjaya sentiasa mencari pekerja yang berkualiti dan berharap dengan program itu dapat mencungkil dan membina bakat baru dalam bidang ICT.
“Program ini juga dapat memberi peluang kepada graduan untuk melalui tempoh percubaan tanpa risiko dan membantu mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka,” katanya.
Mereka yang menunjukkan prestasi memuaskan berpeluang diserap sebagai kakitangan tetap syarikat itu. |